Kaizar Second Life
My first blogspot from middle 2007 to early 2008.

Keratan akhbar Fazura - Favourite actress


Fazura bukan Paris Hilton

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

Sejak dua minggu lalu jadual Fazura agak sibuk. Beberapa kali sesi fotografi untuk cover Pancaindera yang diatur terpaksa dibatalkan. Saya berkata, “Minah” ini memang tengah laris sebab itulah susah sangat untuk mendapatkan tarikh fotografinya.

Kebetulan pula Eksekutif Komunikasi Korporat 8TV, Aishah ingin mengadakan promosi drama Gol & Gincu yang antara lain membariskan Fazura sebagai pelakonnya. Jadi saya minta Aishah yang aturkan.

Semasa berbicara dengan Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, gadis ini memberitahu, dia kurang sihat tetapi sempat juga pergi mandi lulur untuk mencantikkan diri.

“Sebagai seorang perempuan, kita kena jaga penampilan. Apatah lagi kita ni pelakon. Itulah cara saya menjaga kesihatan kulit,” kata Fazura. Memang betul kecantikan diri sebagai seorang wanita itu penting. Wanita memang ingin kelihatan cantik pada setiap masa.

Kalau boleh masa tengah tidur dan mengigau sekalipun mereka ingin kelihatan cantik. Semasa berborak dengannya gadis ini sempat menyampuk.

Katanya, dia penat kerana tak habis-habis dirinya sering dikaitkan dengan kontroversi.

“Sudah naik rimas orang asyik nak menjatuhkan saya saja,” kata gadis berusia 24 tahun ini.

Kenapa?

Belum pun kes pergaduhan pelakon ini dengan seorang wanita selesai, Fazura dilabelkan sebagai “Paris Hilton Malaysia” oleh sebuah akhbar di Singapura. Rasa- rasanya umum sudah tahu macam manakah perangai bintang Hollywood itu?

Selain gemar bersosial, dia juga pernah ditahan di dalam penjara. Ternyata kecewa dengan dakwaan itu Fazura menganggap tindakan akhbar tersebut yang meletakkan dirinya sama seperti Paris Hilton itu melampaui dan menghinanya.

“Janganlah samakan saya dengan bintang Hollywood itu. Dia lain dan saya lain. Tindakan itu bukan saja biadab tetapi saya merasakan akhbar Singapura sudah ketandusan berita dan sengaja menjadikan kes saya untuk disensasikan,” kata Fazura yang kecewa dengan laporan itu.

Sebelum ini jelasnya, akhbar Singapura turut mengaitkan dia bercinta dengan seorang penyanyi dari republik itu tetapi semua dakwaan itu tidak benar.

Malah Fazura juga menafikan dia pernah menjalinkan ikatan istimewa dengan penyanyi tersebut tetapi putus di pertengahan jalan.

“Kami kenal sebagai kawan dan tidak pernah bercinta. Itu semua gosip yang sengaja diada- adakan,” ujarnya. Sebut nama penyanyi lelaki itu saya teringat peristiwa semasa mengikuti Anugerah Muzik Planet di Singapura beberapa bulan lalu.

Semasa acara majlis makan malam selepas selesai program berkenaan, saya menarik Fazura sambil mengusiknya dengan penyanyi lelaki itu.

“Jangan nak gosipkan saya dengan dia,” katanya tatkala ramai wartawan sedang menunggu jawapan kesahihan adakah benar hubungan mereka itu istimewa ataupun sebaliknya.

Perjalanan seni gadis bernama Fazura bukannya mudah. Bermula dengan berlakon iklan syampu lebih lima tahun lalu, nama gadis ini terukir sedikit demi sedikit. Bukannya mudah untuk mengejar impian dan kejayaan sedemikian tanpa usaha yang gigih.

Fazura berkata, dia telah membuktikan penat lelahnya selama ini membuahkan hasil yang baik. Dia juga bukannya pelakon “mi segera” yang naik mendadak tanpa sebarang usaha.

Dia tidak begitu sebaliknya mengakui bekerja keras untuk meletakkan dirinya sebaris dengan bintang popular lain.

“Saya bekerja siang dan malam untuk berjaya seperti ini tetapi ketika saya sedang mencipta populariti, macam-macam sangkaan buruk orang terhadap saya. Di saat kes saya belum selesai, ada pihak yang cuba menjatuhkan kerjaya saya. Mereka semua tak senang dengan apa yang saya lakukan,” katanya.

Bersabarlah Fazura. Itulah hakikatnya untuk menjadi seorang selebriti popular. Tentunya tidak lari daripada dugaan sedemikian.

*Jawab gosip anak raja

Ketika pratonton filem Kayangan terbitan Raden Pictures Sdn. Bhd. beberapa minggu lalu, ramai orang tertanya-tanya apakah istimewanya hubungan Fazura dengan seorang kerabat diraja yang turut hadir menyaksikan pratonton filem itu.

Tidak menafikan dia sendiri yang mengundang Yang Mulia itu, Fazura sekali lagi menepis dakwaan mereka berdua mempunyai hubungan yang istimewa.

Akui sudah lama mengenali jejaka itu, jelas Fazura, mereka hanyalah kawan biasa dan dia memang menggemari sifat diri kerabat diraja tersebut.

“Saya amat menghormati dia. Walaupun dia anak raja tetapi beliau boleh bercampur dengan rakyat biasa, tidak sombong dan baik budi pekertinya.

“Apa salahnya saya menjemput dia datang menyaksikan filem Kayangan? Lagipun penerbit filem itu kerabat diraja juga,’’ katanya yang menolak sekeras-kerasnya mempunyai hubungan istimewa.

*Bukan kaki disko

“Maaf saya bukan kaki disko,” kata Fazura tegas apabila diajukan soalan mengenai pandangan ramai yang mengatakan dia antara artis yang suka ‘clubing.’ Kenapa ada tanggapan sebegitu? Semuanya gara-gara kes pergaduhan sebelum ini berlaku di sebuah kelab.

Jelas Fazura, dia tidak seperti yang digambarkan oleh masyarakat yang melabelnya sebagai artis yang tidak bermoral.

“Jangan tuduh saya tiap-tiap malam keluar ke kelab, disko sana, disko sini. Saya bukan jenis yang macam itu. Jangan kerana saya ada kes gaduh di dalam kelab, orang senang-senang nak anggap saya sebegitu rupa. Hentikanlah kerana saya dah penat hendak melayan benda-benda yang macam itu,” pintanya.

Bagaimanapun akui Fazura, tidak dinafikan sekiranya ada majlis-majlis tertentu yang menuntut seseorang artis itu berada di dalam kelab, dia tidak menafikannya.

Ini kerana kebanyakan majlis-majlis hiburan kebiasaannya turut menganjurkan ‘post party’ yang mengundang artis dan tetamu bertemu muka di tempat dan kelab tertentu.

Bagaimanapun pada masa ini Fazura sibuk dengan lakonan drama dan bidang pengacaraan yang sudah tentunya berkehendakkan dia banyak berehat.

*Gol & Gincu

Pembabitan Fazura untuk drama bersiri Gol & Gincu yang disiarkan setiap hari Ahad di 8TV (10 malam) antara lain turut menyumbang kepada popularitinya.

Bangga dengan ruang yang diberikan untuk berlakon drama itu, jelas Fazura, dia mendapat respons yang baik daripada penonton yang berpuas hati terhadap lakonannya itu.

Malah katanya, dek kerana drama itu, banyak juga tawaran lain yang diterimanya bersilih ganti.

“Bukan hendak berlagak tetapi saya terpaksa menolak sesetengah tawaran yang diberikan kerana skrip yang tidak sesuai. Cuma pada waktu ini saya mengimpikan watak orang gila dan wanita jahat. Masih ada pengarah yang belum berani memberi saya watak seperti itu,” katanya yang pernah memenangi Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-17.

Selain sibuk dengan lakonan, Fazura juga menyimpan impian besar untuk meneruskan cita- cita asalnya sebagai seorang penyanyi.

Sedang sibuk mengumpul lagu, menurutnya, jika tidak ada aral melintang album berkenaan akan dirakamkan pada hujung tahun ini atau pada awal tahun hadapan.
0 comments:

Kaizar Media Addict Rehab

MySpace Blog

subscribe to Kaizar Second Life via email

Enter your email address: